Grab, syarikat popular yang lahir di Malaysia, telah membuat penampilan sulung penyenaraian Nasdaq dengan gemilang. Syarikat e-hailing itu pernah berkata bahawa ini dijangka menjadi tawaran ekuiti Amerika Syarikat terbesar yang pernah ada oleh sebuah syarikat Asia Tenggara.
Penyenaraian Grab adalah melalui penggabungan syarikat pengambilalihan khas bernilai AS$4.5 bilion dengan Altimeter yang juga merupakan perjanjian terbesar seumpama itu melibatkan syarikat dari Asia Tenggara. Majlis penyenaraian itu diadakan di Singapura supaya syarikat itu lebih mengenali komuniti pemandu dan rakan kongsi peniaganya. Ia juga merupakan majlis loceng pembukaan pertama Nasdaq yang dianjurkan di rantau ini.
Perkara ini membuatkan pengasas bersama Grab, Anthony Tan dilaporkan mencecah status ‘Billionaire’ selama beberapa jam selepas penyenaraian syarikat di Nasdaq sebelum sahamnya susut.
“Hari ini, kami menyerlahkan tumpuan di Asia Tenggara, dan bagaimana syarikat teknologi tempatan memperkasakan kemungkinan baharu untuk 660 juta penduduk di rantau ini. Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa dedikasi dan kegigihan ‘Grabbers’ dan sokongan pengguna, pelabur, perniagaan dan rakan kongsi kerajaan”
kata Antony Tan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grab
COVID-19 dan sekatan telah mencabar Grab, yang mencatatkan kerugian AS$988 juta pada suku ketiga 2021. Kerugian untuk tempoh yang sama tahun lepas, iaitu AS$622 juta. Hasil untuk tempoh yang sama ialah AS$157 juta, turun 9% tahun ke tahun. Syarikat itu mengaitkan kejatuhan itu sebagai “sekatan yang teruk” di Vietnam yang menjejaskan jumlah aktiviti di sana.
Grab sebelum ini dikenali sebagai MyTeksi dan diasaskan pada 2012 sebagai aplikasi tempahan teksi di Malaysia. Hari ini, Grab beroperasi merentasi sektor penghantaran, mobiliti dan perkhidmatan kewangan digital di 465 bandar raya di lapan negara di rantau Asia Tenggara.


