Laman Khas Teknologi

Platform media sosial yang bayar paling tinggi pada 2025

Dalam era digital masa kini, media sosial bukan sekadar tempat untuk bersosial dan kongsi gambar makanan—ia juga tempat duit untuk ramai pencipta kandungan! Persoalannya, platform mana yang paling untung? Nak tahu mana satu boleh buat duit lebih banyak, jom kita selidik!

YouTube: Raja Monetisasi

YouTube memang power bila bab monetisasi! Kalau video banyak tontonan, iklan yang dipaparkan boleh menjana pendapatan lumayan. Dengan Program Rakan Kongsi YouTube, pencipta kandungan boleh buat duit melalui iklan, langganan saluran. Senang cerita, kalau rajin buat konten berkualiti dan konsisten, YouTube boleh jadi mesin duit jangka panjang! 

Pencipta kandungan terkenal seperti JinnyboyTV, Khairul Aming dan Sugu Pavithra di Malaysia memperoleh pendapatan melalui tontonan tinggi dan tajaan jenama. Di peringkat antarabangsa, MrBeast, yang terkenal dengan konten cabaran ekstremnya, dilaporkan memperoleh lebih $82 juta setahun, menjadikannya salah satu pencipta kandungan YouTube terkaya.

Perlu diingat bahawa jumlah langganan tidak semestinya mencerminkan pendapatan sebenar, kerana pendapatan YouTuber bergantung kepada pelbagai faktor seperti tontonan video, penglibatan penonton, dan kerjasama dengan jenama.

Facebook & Instagram: Media Dua Dalam Satu

Meta (Facebook & Instagram) memang tak kalah dalam bab jana pendapatan. Di Facebook, ada pilihan seperti iklan, langganan eksklusif, dan Brand Collabs Manager untuk pencipta kandungan cari rezeki. Instagram pula best untuk pos tajaan, pemasaran afiliasi, dan lencana Instagram. Neelofa, seorang usahawan dan personaliti media terkenal Malaysia, menggunakan Instagram bukan sahaja untuk kandungan peribadi tetapi juga mempromosikan produk perniagaannya. Untuk rekod :

  • Facebook: Pendapatan per 1,000 tontonan: Antara $1 hingga $20 bersamaan dengan RM4.41 hingga RM88.29, dengan purata sekitar $8.75 hingga $10 bersamaan dengan RM38.63 hingga RM44.15.

  • Instagram: Pendapatan per siaran tajaan: Nano-influencer (1,000 hingga 10,000 pengikut) boleh memperoleh antara $10 (RM44.15) hingga $100 (RM441.45)setiap siaran tajaan.

Antarabangsa pula, Cristiano Ronaldo, atlet dengan pengikut Instagram paling ramai, boleh menjana lebih $2 juta bagi setiap siaran tajaan. 

TikTok: Platform yang Semakin Popular

Dulu ramai ingat TikTok hanya untuk video tarian dan trend viral, tapi sekarang ia dah jadi tempat serius untuk buat duit! TikTok Shop, kerjasama jenama, serta langganan adalah antara cara pencipta kandungan boleh jana pendapatan. Khaby Lame, influencer TikTok paling popular di dunia, memperoleh lebih RM3.5 juta bagi setiap video tajaan, menjadikannya salah satu pempengaruh TikTok dengan bayaran tertinggi. Di Malaysia, Cikidot Channel dan Bella Khan berjaya menarik jutaan tontonan, membuktikan potensi besar platform ini. Ramai pencipta kandungan tempatan kini menjana pendapatan melalui TikTok LIVE, di mana mereka menerima hadiah digital yang boleh ditukar kepada wang tunai. Selain itu, sistem TikTok Creativity Program membolehkan pencipta video berdurasi panjang mendapat bayaran berdasarkan tontonan dan engagement.

X (Twitter): Sesuai Untuk Pengguna Tertentu

X (dulu dikenali sebagai Twitter) juga semakin agresif dalam memberi peluang kepada pencipta kandungan untuk menjana pendapatan. Dengan ciri Twitter Ads Revenue Sharing, langganan Twitter Blue, serta peluang bekerjasama dengan jenama, pencipta kandungan yang aktif dan berpengaruh di X boleh menikmati pendapatan yang lumayan. Elon Musk, yang sering mencetuskan perbincangan hangat di platform ini, menjana pendapatan bukan hanya dari iklan tetapi juga daripada perhatian yang diterima di X.  Bagi pencipta kandungan, X menawarkan beberapa pilihan monetisasi:

  • Langganan Premium: Pengguna boleh melanggan perkhidmatan Premium yang menawarkan ciri tambahan seperti kemampuan untuk mengedit ciapan, menulis ciapan lebih panjang, dan akses kepada alat analitik.

  • Perkongsian Hasil Iklan: Pencipta kandungan yang memenuhi syarat boleh memperoleh pendapatan melalui perkongsian hasil iklan yang dipaparkan dalam balasan ciapan mereka.

Dengan pelbagai inisiatif ini, X berusaha untuk menyediakan ekosistem yang lebih komprehensif bagi pengguna dan pencipta kandungan, menggabungkan media sosial dengan perkhidmatan kewangan untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan peluang pendapatan.

Mana Satu Paling Berbaloi?

Sebenarnya, semua platform ada kelebihan masing-masing. YouTube sesuai untuk kandungan panjang yang boleh jana pendapatan pasif, TikTok dan Instagram bagus untuk video pendek yang viral, Facebook stabil dengan sistem iklannya, manakala Twitch dan Kick paling best untuk streamer. X pula lebih kepada mereka yang suka berinteraksi dengan audiens melalui teks dan perbualan. Yang penting, pilih platform yang sesuai dengan gaya konten anda dan faham strategi monetisasi dengan betul!

Kalau betul-betul serius nak buat duit dari media sosial, jangan malas explore peluang dan konsisten dalam berkarya. Mana tahu, satu hari nanti anda boleh jadi pencipta kandungan terkenal di Malaysia!

Sila Kongsi Artikel Ini

Baca Lagi