Laman Khas Teknologi

Ukraine dilanda serangan siber ke atas kementerian pertahanan dan bank

Di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara Rusia dan Ukraine, ramai yang tidak tahu bahawa, beberapa laman web dan sistem perbankan kerajaan Ukraine tidak dapat diakses buat sementara waktu oleh pengguna. Perkara ini telah berlaku sebelum peperangan meletus dan setakat ini masih tidak jelas siapa yang berada di sebalik serangan itu, dan tujuan secara keseluruhannya.

Serangan sistem bank

Kementerian Pertahanan Ukraine mengalami serangan DDoS yang menghalang pengguna daripada mengakses laman webnya, dan dua bank Ukraine telah kehilangan akses kepada perkhidmatan perbankan dalam talian. Serangan ini menyebabkan perkhidmatan ATM tidak berfungsi dan menghalang beberapa pelanggan daripada mengeluarkan atau memindahkan wang dalam talian.

Kementerian digodam

Kementerian Pertahanan Ukraine mengalami serangan DDoS yang menghalang pengguna daripada mengakses laman webnya. Kementerian Pertahanan Ukraine berkata bahawa laman webnya mungkin telah diserang dengan serangan DDoS dan telah bekerja untuk memulihkan perkhidmatan. Walaubagaimanapun, empat jam kemudian, laman web itu masih tidak dapat diakses.

Rusia sebagai suspek utama

Serangan siber itu masih belum dikaitkan dengan pihak tertentu oleh kerajaan Ukraine atau pegawai Amerika Syarikat. Memandangkan situasi ketenteraan dan ketegangan yang berterusan, ramai yang mengesyaki penglibatan Rusia.

Laporan itu dengan cepat menimbulkan kebimbangan, memandangkan amaran berterusan oleh kerajaan Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa Rusia mungkin melancarkan serangan siber besar-besaran dan memberi kesan kepada infrastruktur kritikal di Ukraine, seperti komunikasi atau perbankan, sebelum pencerobohan.

Untuk makluman, pengintipan siber, kerosakan pada pangkalan data dan server, gangguan kepada kuasa dan komunikasi dan maklumat yang salah kini semuanya menjadi senjata rutin di oleh pihak Rusia.

Perang psikologi

Terdapat juga laporan daripada Polis Siber Ukraine yang membongkar gelombang penghantaran mesej SMS palsu kepada rakyat Ukraine yang mendakwa perkhidmatan ATM terputus.

Bagi rakyat Ukraine, terdapat sedikit ketidakpastian kerana kerajaan tidak berkomunikasi dengan jelas tentang perkara yang perlu dilakukan dalam kecemasan.

Orang ramai tidak faham apa yang perlu dilakukan sekiranya keadaan memuncak, jadi mereka hanya memilih untuk meneruskan kehidupan dan berharap tentera dan kerajaan akan menyelesaikan masalah.

Olena Prokopenko, Felo badan pemikir dasar awam

Memandangkan ketegangan yang semakin memuncak di rantau ini dan ancaman pencerobohan Rusia yang semakin hampir, serangan seperti ini boleh memberi kesan psikologi yang lebih besar.

Situasi Ukraine dan Rusia

Perkara ini boleh menjadi salah satu taktik awal dalam pencerobohan oleh Rusia, walaupun ia belum dikaitkan secara langsung. Memandangkan Rusia sudah pun menceroboh masuk ke kawasan Ukraine, ramai percaya bahawa serangan ini merupakan salah satu daripada senjata ketenteraan Rusia untuk melumpuhkan dan melemahkan sistem siber di Ukraine.

Rakyat Ukraine, bagaimanapun, telah terbiasa dengan serangan digital yang selalunya datang dari Rusia sejak tahun 2014. Mereka sudah mengalami perkara yang lebih serius dilakukan oleh Rusia termasuk mematikan grid kuasa. Oleh itu, serangan digital yang berlaku sekarang dianggap sebagai perkara yang biasa di negara Ukraine.

Apa yang perlu dibimbangkan oleh pihak Ukraine waktu ini adalah serangan ketenteraan oleh pihak Rusia yang telah pun menyerang dan memulakan pencerobohan ke atas negara itu. Serangan siber yang berlaku sebelum ini, dilihat tidak terlalu rumit dan berjangka pendek, jika dibandingkan dengan apa yang berlaku pada waktu ini.

Sila Kongsi Artikel Ini

Baca Lagi